Perancis jangka ujian sebenar daripada Paraguay

Perancis jangka ujian sebenar daripada Paraguay


PENGENDALI Perancis, Didier Deschamps menegaskan bahawa kekuatan fizikal atau sifat agresif semata-mata tidak menjamin kemenangan menjelang aksi pusingan 16 terbaik Piala Dunia menentang Paraguay pada awal pagi Ahad (5 pagi waktu Malaysia).

Perancis berdepan ujian getir apabila Paraguay hadir sebagai ‘giant killer’ selepas mengejutkan Jerman di pusingan 32 menerusi penentuan penalti, sekali gus menempah slot ke peringkat kalah mati.

Paraguay turut melakar kemaraan selepas menamatkan saingan kumpulan sebagai antara lapan pasukan tempat ketiga terbaik, dalam kumpulan yang turut disertai Amerika Syarikat, Australia dan Turkiye.

Deschamps mengingatkan bahawa Paraguay bukan pasukan yang hanya bergantung kepada semangat juang tinggi, sebaliknya memiliki struktur permainan yang baik dan disiplin taktikal.

“Paraguay bukan muncul begitu sahaja. Seperti semua pasukan Amerika Selatan, mereka mempunyai semangat juang yang tinggi. Tetapi bukan agresif yang menentukan kemenangan.

“Mereka pasukan yang tahu bermain bola sepak dengan baik. Mereka mempunyai pemain berkualiti seperti Enciso dan Almirón. Mereka saling memahami dan bermain dengan teratur,” katanya.

Dalam masa sama, Deschamps menolak tanggapan bahawa kejayaan Perancis hanya bergantung kepada ketajaman serangan, sebaliknya menekankan kepentingan keseimbangan di semua posisi.

“Kami sering bercakap tentang serangan kerana gol dijaringkan di situ. Tetapi antara pertahanan dan serangan, ada bahagian tengah yang sangat penting.

“Pemain seperti Tchouameni, Rabiot dan Kone memberi keseimbangan dan tekanan. Anda tidak boleh asingkan setiap bahagian kerana ia seperti kepingan teka-teki yang saling melengkapi,” katanya.

Perancis mara ke pusingan 16 terbaik dengan Kylian Mbappe menjadi tonggak utama selepas meledak enam gol dalam empat perlawanan.

Aksi ini turut mengimbau pertemuan klasik kedua-dua pasukan pada 1998, apabila Perancis menyingkirkan Paraguay di pusingan sama menerusi jaringan gol emas Laurent Blanc.

Namun, Deschamps menegaskan situasi kali ini jauh berbeza.

“Saya masih ingat perlawanan itu, ia detik penting dalam sejarah bola sepak Perancis.

“Tetapi hari ini adalah perlawanan berbeza, walaupun kualiti Paraguay masih sama,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top