Piala Asia B-23: Uzbekistan atasi Malaysia 1-0 pada babak pertama

Piala Asia B-23: Uzbekistan atasi Malaysia 1-0 pada babak pertama


SKUAD bawah 23 tahun (B-23) Uzbekistan mendahului Malaysia 1-0 selepas babak pertama saingan Kumpulan D Piala Asia B-23 di Qatar menutup tirai sebentar tadi.

Dalam aksi di Stadium Antarabangsa Khalifa, Doha tersebut, Uzbekistan menepati status sebagai juara Piala Asia B-23 2018 apabila membuka tirai jaringan menerusi Jasurbek Jaloliddnov pada minit ke-11 perlawanan.

Gol diperoleh menerusi sepakan penalti selepas pemain muda negara, Syahir Bashah menjatuhkan Ruslanbek Jiyanov dalam kotak penalti.

Jaloliddnov berjaya memperdaya penjaga gol skuad Harimau Muda, Azim Al Amin menerusi sepakan mudah di sebelah kanan gawang negara.

Malaysia sebelum itu berpeluang berada di depan, namun sepakan lencong Luqman Hakim dari luar kotak penalti gagal menemui sasaran.

Memasuki separuh masa kedua Malaysia perlu membuat beberapa pertukaran bagi mengatur gerakan yang lebih kemas dan tersusun, berbanding Uzbekistan yang tenang mengawal permainan selepas memperoleh gol pertama.

Selepas ini skuad muda negara bimbingan Juan Torres Garrido akan membuat perhitungan dengan Vietnam pada Sabtu dan aksi terakhir kumpulan akan berdepan Kuwait tiga hari kemudian.

Tiga pasukan terbaik di Piala Asia B-23 akan mara secara automatik ke Sukan Olimpik 2024 sementara pasukan keempat akan mengharungi ‘play-off’ menentang wakil Afrika, Guinea.

Sebagai rekod, pencapaian terbaik skuad Harimau Muda pada kempen Piala Asia B-23 adalah mara ke suku akhir edisi 2018 sebelum tewas 1-2 kepada Korea Selatan.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28



Source link

OR

Scroll to Top