May 27, 2024

Punca isu gandar Omoda 5 sudah dikenalpasti – Chery Auto


KUALA LUMPUR – Isu gandar yang melibatkan kenderaan model Omoda 5 disebabkan oleh hujung mesin kimpalan automatik yang haus telah digantikan dengan hujung kimpalan baharu.

Naib Presiden Chery Auto Malaysia, Lee Wen Hsiang berkata, penggantian yang baharu pada hujung kimpalan itu pula telah mengakibatkan salah kalibrasi peralatan.

Masalah itu dikesan selepas Chery Auto Malaysia (Chery Auto) menjalankan siasatan menyeluruh terhadap kes terpencil dan menghubungi penjual alat ganti untuk mendapatkan penjelasan lanjut.

Hasil siasatan itu, katanya, terdapat sejumlah 60 unit kenderaan Omoda 5 dengan bahagian yang terjejas di Malaysia dikeluarkan pada 15 Ogos 2023.

“Sejak itu, Chery Auto telah mengambil langkah berjaga-jaga tambahan melancarkan jaringan yang lebih luas dengan melaksanakan kempen perkhidmatan khas untuk memanggil dan memeriksa kenderaan Omoda 5 dengan gandar belakang yang dihasilkan antara 14 hingga 17 Ogos 2023, berjumlah 600 unit,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Artikel berkaitan: Chery Auto, Puspakom dapati Omoda 5 tiada masalah brek

JPJ akan pantau pelaksanaan panggilan semula 600 kenderaan Omoda 5

Tambah beliau, syarikat itu memandang serius perkara ini kerana melibatkan keselamatan pelanggan dan sedang dalam proses menghubungi mereka yang terjejas melalui nombor pengenalan kenderaan (VIN) untuk meminta mereka membawa kenderaan mereka ke pusat servis bagi pemeriksaan terperinci.

Sehingga 3 Mei 2024, katanya, ia telah menghubungi lebih daripada 53% (32/60) daripada pemilik yang terjejas.

Chery Auto turut mengesahkan tiada model lain kenderaannya yang terlibat dalam terjejas dalam isu ini.

Pemilik Omoda 5 boleh menyemak sama ada kenderaan mereka terjejas dengan memasukkan nombor VIN mereka di https://www.chery.my/chery-product-update.

“Untuk memastikan pelanggan Chery dimaklumkan dengan baik, kemas kini mingguan akan dikongsi secara terbuka untuk memberikan maklumat berterusan tentang status program panggil balik,” ujarnya. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top