July 16, 2024

Seorang anggota TDM hilang ketika bertugas dalam Op UKUR

Seorang anggota TDM hilang ketika bertugas dalam Op UKUR


KUALA LUMPUR – Seorang anggota daripada Batalion Ke-7 Rejimen Sempadan (RS) yang berpengkalan di Kem Kidurong, Bintulu didapati hilang ketika sedang bertugas di Limbang bersama Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM) Sarawak.

Mangsa, Prebet Muhammad Syafiq Hilmi Abd Halim telah didapati hilang ketika sedang bertugas dalam Op UKUR.

Op UKUR merupakan operasi yang dilaksanakan di bawah kawalan Markas 31 Briged Sempadan yang melibatkan penempatan anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) sebagai pengiring keselamatan kepada pasukan JUPEM yang sedang melaksanakan penandaan dan pengukuran sempadan Malaysia-Brunei Darussalam di kawasan pengukuran Ulu Tutong (E500) ke Bebuloh (E600), Limbang mulai 11 Jun hingga 2 September 2024.

“Ketiadaan anggota dikesan pada 18 Jun lalu ketika ketua kumpulan mendapati anggota tiada di posisi belakang kumpulan,” kata kenyataan Sel Perhubungan Raya Tentera Darat hari ini.

Kejadian berlaku pada kedudukan dua kilometer di atas permatang sempadan Malaysia-Brunei dari tanda sempadan E500 menghala ke arah E600.

Usaha mencari dan mengesan anggota telah segera dilaksanakan oleh kumpulan tersebut yang terdiri daripada dua anggota TDM dan lima anggota JUPEM namun gagal menemui anggota.

Usaha pencarian juga telah dipergiatkan oleh TDM mulai 19 Jun lalu di kawasan tersebut dengan melibatkan kerjasama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta Agensi Awam lain yang dikoordinasikan oleh MKN iaitu PDRM dan bomba.

Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) juga telah mengaturgerakan aset mereka dalam membantu usaha pencarian bersama TDM.

“Adalah diharapkan anggota berkenaan dapat ditemui dalam keadaan selamat dan berharap agar masyarakat tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menggangu misi pencarian ini serta menjaga perasaan waris anggota yang terlibat,” kata kenyataan yang sama. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top