Sudah jangka akan dipecat – Abdul Razak Khamis

Sudah jangka akan dipecat – Abdul Razak Khamis


hifzuddin@bh.com.my

Alor Setar: “Ini harga yang saya perlu bayar untuk perjuangan ini,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis, susulan pengumuman pemecatannya daripada BERSATU malam ini.

Abdul Razak yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah berkata, bagaimanapun beliau tidak terkejut dengan pemecatan itu, sebaliknya sudah menjangkakan ia akan berlaku.

Katanya, beliau sebelum ini menerima surat tunjuk sebab daripada Lembaga Disiplin BERSATU menuntut penjelasan berhubung salah laku yang didakwa dilakukannya apabila menyokong bekas Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

“Bagaimanapun, saya sedikit kesal apabila tidak dipanggil untuk diberi peluang memberi penjelasan dalam prosiding bersama Lembaga Disiplin BERSATU kerana saya hendak tahu siapa yang membuat aduan terhadap saya.

“Apapun saya reda dengan keputusan ini dan sedar surat tunjuk sebab yang diterima sebelum ini sekadar formaliti, kerana tujuan sebenar mereka adalah mahu memecat saya,” katanya ketika dihubungi, malam ini.

Abdul Razak berkata, berikutan keputusan parti itu, statusnya kini menjadi ADUN Bebas yang menyokong Perikatan Nasional di DUN Kedah.

Katanya, beliau juga menyerahkan kepada Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengenai kedudukannya sebagai Timbalan Speaker DUN Kedah, berikutan pelantikan itu dibuat pada Sidang DUN.

“Buat masa ini saya belum membuat keputusan untuk merayu atau tidak kerana perlu berbincang bersama rakan lain termasuk bersama Dzowahir Ab Ghani (ADUN Suka Menanti).

“Cuma saya perlu jelaskan bahawa saya bukan pembangkang di DUN Kedah kerana masih menyokong PN, lain-lain keputusan saya serah kepada Menteri Besar,” katanya.

Terdahulu, BERSATU mengumumkan mengambil tindakan disiplin terhadap lapan pemimpinnya termasuk memecat dua ADUN dan menggantung keahlian enam lagi pemimpin wakil rakyat berkuat kuasa serta-merta.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top