PLATFORM media sosial popular, Instagram, baru-baru ini telah melakukan pembersihan besar-besaran terhadap akaun palsu dan tidak aktif menyebabkan ramai tokoh ternama dunia termasuk bintang bola sepak, Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi mengalami penurunan jumlah pengikut yang ketara.
Proses itu menyaksikan jutaan akaun bot disingkirkan daripada sistem sekali gus memberi kesan kepada selebriti yang memiliki jumlah pengikut tertinggi di platform tersebut.
Ronaldo, yang memegang rekod sebagai individu paling ramai pengikut di Instagram, dilaporkan kehilangan kira-kira tujuh juta pengikut. Meskipun angka itu besar, bintang Al-Nassr itu kini masih mengekalkan 666 juta pengikut yang sentiasa mengikuti gaya hidup dan kerjasama jenama eksklusifnya.
Pemenang lapan kali Ballon d’Or, Lionel Messi, serta pelakon terkenal Dwayne ‘The Rock’ Johnson masing-masing dilaporkan kehilangan lima juta pengikut, manakala bintang Brazil, Neymar pula menyaksikan penurunan sebanyak empat juta pengikut.
Turut terkesan dengan tindakan agresif Instagram itu adalah personaliti media sosial Logan Paul dan KSI, pemilik bersama kelab Wrexham, Ryan Reynolds, serta tokoh-tokoh dunia lain seperti bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, Pope Francis, Justin Bieber dan Kylie Jenner.
Setakat ini, pihak Instagram masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung langkah pembersihan tersebut yang bertujuan membendung akaun spam serta memastikan integriti platform mereka.
Bagaimanapun, penurunan jumlah pengikut ini tidak menjejaskan status Ronaldo sebagai ‘raja’ pengiklanan di media sosial. Berdasarkan laporan CNN sebelum ini, kapten skuad kebangsaan Portugal itu mampu meraih pendapatan sekitar £2.57 juta (kira-kira RM13.66 juta) bagi setiap satu hantaran tajaan di Instagram.






