Ronaldo dan Al-Nassr perlu menunggu perlawanan terakhir untuk mengesahkan status juara Liga Pro Saudi. Foto AFP
HASRAT Al-Nassr untuk mengesahkan kejuaraan Liga Pro Saudi buat kali pertama sejak musim 2018-2019 terbantut selepas seri 1-1 menentang Al Hilal.
Lebih mengecewakan, keputusan itu berpunca daripada kesilapan penjaga gol mereka, Bento yang menjaringkan gol sendiri pada minit ke-98.
Al-Nassr sebenarnya hanya berbaki beberapa saat untuk meraih kemenangan dan menamatkan penantian kejuaraan liga.
Namun, segalanya musnah apabila pemain kebangsaan Brazil itu gagal menangkap kemas lontaran jauh Al Hilal, sebelum bola melantun masuk ke gawang sendiri.
Mohamed Simakan sebelum itu meletakkan tuan rumah di depan menerusi jaringan pada minit ke-37 hasil sepakan penjuru.
Al-Nassr sepatutnya boleh menggandakan kelebihan, namun percubaan Kingsley Coman sebelum tamat separuh masa pertama hanya singgah di tiang gol.
Bintang sensasi, Cristiano Ronaldo yang masih memburu trofi domestik pertama bersama Al-Nassr turut berpeluang melebarkan jurang, namun rembatannya tersasar sejurus selepas babak kedua bermula.
Dengan baki satu perlawanan, Al-Nassr kini kekal di persada liga dengan 83 mata daripada 33 perlawanan, meninggalkan Al Hilal di kedudukan kedua dengan jurang lima mata. Namun, Al Hilal masih mempunyai kelebihan satu perlawanan dalam tangan.
Kini, Al-Nassr hanya perlu menewaskan Damac dalam perlawanan terakhir musim ini pada 21 Mei depan untuk mengesahkan gelaran juara.
Dalam pada itu, Al-Nassr juga boleh diangkat sebagai juara lebih awal sekiranya pencabar terdekat mereka, Al Hilal gagal menewaskan Neom pada aksi Sabtu ini.





