Cubaan lima warga Malaysia memasuki Makkah tanpa permit haji berakhir dengan penahanan selepas mereka dikesan menggunakan laluan tidak berturap dan kawasan lembah bagi mengelak sekatan pihak berkuasa, lapor Saudi Gazette.
Menurut kenyataan pihak keselamatan haji, kesemua individu terbabit ditahan kerana melanggar peraturan musim haji 2026 yang menetapkan hanya pemegang permit sah dibenarkan memasuki kota suci itu sepanjang musim haji berlangsung.
Pihak berkuasa memaklumkan tindakan perundangan telah dimulakan terhadap semua yang terlibat.
Direktorat Jeneral Mujahideen menegaskan semua pihak perlu mematuhi peraturan dan arahan yang ditetapkan bagi memastikan keselamatan serta kelancaran urusan jutaan jemaah haji yang berada di Tanah Suci.
Malah, agensi itu turut mengingatkan bahawa sebarang cubaan melanggar peraturan termasuk memasuki Makkah tanpa permit sah boleh dikenakan tindakan undang-undang dan hukuman tertentu mengikut peraturan semasa Arab Saudi.
Dalam masa sama, orang ramai turut diminta bekerjasama dengan pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang pelanggaran peraturan haji.
Bagi kawasan Makkah, Madinah, Riyadh dan Wilayah Timur, laporan boleh dibuat menerusi talian kecemasan 911 manakala kawasan lain di seluruh Arab Saudi menggunakan talian 999.
KREDIT GAMBAR UTAMA: SAUDI GAZETTE






