Pengambilan saham IJM Corp: SPRM siasat 2 individu

Pengambilan saham IJM Corp: SPRM siasat 2 individu


Shah Alam: Dua kertas siasatan membabitkan pengambilalihan sukarela IJM Corporation oleh Sunway Bhd masih dibuka dan aktif susulan penemuan unsur berkaitan penyelewengan dalam urusan berkenaan.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Abdul Halim Aman berkata siasatan mendapati terdapat elemen yang boleh disiasat di bawah Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA), melibatkan dua individu.

Beliau berkata setakat ini SPRM telah merakam keterangan 13 individu bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Kertas siasatan kes ini masih aktif kerana melalui siasatan yang dijalankan oleh SPRM, kita mendapati wujud unsur-unsur yang boleh disiasat di bawah undang-undang berkaitan,” katanya kepada Bernama selepas melakukan lawatan kerja ke pejabat SPRM Selangor, di sini hari ini.

Mengulas perkembangan lain, Abdul Halim mengesahkan siasatan SPRM terhadap Pengerusi IJM Corporation Tan Sri Krishnan Tan telah diklasifikasikan sebagai ‘Tiada Tindakan Lanjut’ selepas mendapati tiada unsur jenayah, salah laku atau pelanggaran tadbir urus korporat.

Beliau berkata siasatan mendapati cadangan pengambilalihan berkenaan dijalankan mengikut rangka kerja perundangan dan kawal selia yang ditetapkan Suruhanjaya Sekuriti, namun cadangan itu kemudiannya dibatalkan oleh Sunway Bhd.

Dalam pada itu, Abdul Halim berkata siasatan berkaitan dakwaan pengubahan wang haram bernilai RM2.5 bilion juga didapati tidak berasas selepas SPRM menjalankan siasatan bersama Bank Negara Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Serious Fraud Office (SFO) United Kingdom.

“Hasil siasatan mendapati ia merupakan aset kecil dalam bentuk pelaburan kewangan sah melalui institusi perbankan antarabangsa dan diuruskan secara profesional mengikut saluran undang-undang,” katanya.

Beliau berkata SFO United Kingdom juga mengesahkan tidak pernah menjalankan sebarang siasatan berkaitan dakwaan pengaliran wang berkenaan.

Pada Mac lepas, SPRM memaklumkan pihaknya membuka kertas siasatan berhubung beberapa isu membabitkan syarikat berkenaan termasuk transaksi kewangan dan pelaburan luar negara bernilai kira-kira RM2.5 bilion.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top