WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mula menghantar semula kakitangan ke beberapa misi diplomatiknya di Asia Barat yang sebelum ini dipindahkan atau dikurangkan operasinya susulan ketegangan dengan Iran, menurut dua sumber yang mengetahui perkara itu kepada Reuters.
Sumber berkata, kakitangan akan kembali ke misi AS di Lubnan, Israel, Arab Saudi serta Baghdad, Iraq. Ahli keluarga kakitangan juga akan dibenarkan kembali ke misi AS di Riyadh.
Langkah itu menunjukkan Washington melihat risiko konflik dengan Iran daripada kembali memuncak dalam masa terdekat sebagai lebih rendah, walaupun beberapa kedutaan pada peringkat awal akan beroperasi dengan kapasiti terhad.
Menurut sumber, sesetengah kedutaan hanya akan beroperasi dengan tidak lebih 85 peratus daripada jumlah kakitangan yang diluluskan.
Penghantaran semula sebahagian kakitangan dijangka bermula seawal minggu ini.
AS sebelum ini menarik balik kakitangan dari kedutaan di seluruh Asia Barat selepas serangan bersama AS dan Israel terhadap Iran bermula pada 28 Februari.
Beberapa kedutaan AS di negara Teluk Arab seperti Arab Saudi dan Kuwait turut diserang Iran, menyebabkan kedutaan di Kuwait ditutup sementara.
Sejak itu, pertempuran sengit semakin reda meskipun sekatan laut AS terhadap pelabuhan Iran masih berterusan dan Selat Hormuz, laluan perairan penting bagi penghantaran minyak serta komoditi, kekal ditutup ketika usaha diplomatik untuk menamatkan perang menemukan jalan buntu.
Jurucakap Jabatan Negara AS dalam kenyataan melalui e-mel kepada Reuters berkata, pihaknya sentiasa menilai tahap keselamatan misi diplomatik AS di seluruh dunia.
“Berdasarkan penilaian terbaharu kami, kami sedang menyesuaikan tahap penempatan kakitangan di beberapa misi di Asia Barat bagi memastikan kami dapat terus mencapai matlamat dasar luar AS, selain melindungi keselamatan dan kesejahteraan kakitangan,” katanya.
The New York Times sebelum ini melaporkan diplomat akan kembali dan langkah-langkah kecemasan dilonggarkan, selain kedutaan AS di Jordan, Oman, Kuwait dan Qatar dijangka turut meningkatkan jumlah kakitangan, berdasarkan dokumen dalaman.
Kedutaan AS di Israel, Jordan dan Oman akhirnya akan kembali beroperasi dengan jumlah kakitangan penuh, manakala misi di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Qatar dan Lubnan pada peringkat awal dihadkan kepada 85 peratus kapasiti kakitangan.
Akhbar itu turut melaporkan misi AS di Iraq, Kuwait dan Bahrain akan dihadkan kepada 75 peratus jumlah kakitangan.
