Shereen lebur rekod kebangsaan 400m miliknya di Tennessee

Shereen lebur rekod kebangsaan 400m miliknya di Tennessee


KUALA LUMPUR – Atlet olahraga wanita negara, Shereen Samson Vallabouy berjaya meleburkan rekod kebangsaan miliknya dalam acara 400 meter (m) pada Kejohanan Music City Track Carnival di Tennessee, Amerika Syarikat, semalam.

Menurut laman sesawang kejohanan https://live.pttiming.com, pada final yang berlangsung di Stadium Dean A. Hayes, Murfreesboro itu, Shereen menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan catatan masa 51.79 saat (s),

Catatan itu sekali gus memadamkan rekod 51.80s yang dilakarnya pada Kejohanan Olahraga Tahunan Mt SAC Relays ke-63, California, Amerika Syarikat pada April tahun lepas.

Bagaimanapun, atlet berusia 26 tahun dari Perak itu wajib mencatatkan masa larian sekurang-kurangnya 50.95s jika mahu melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris yang akan membuka tirai Julai ini.

Dalam pada itu, Leah Anderson dari Jamaica merangkul emas dengan catatan 51.67s manakala gangsa menjadi milik atlet tuan rumah Na’asha Roinson dengan 51.82s dalam kejohanan tersebut.

Jawatankuasa pemilihan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) perlu menyerahkan nama sama ada Shereen atau seorang lagi pelari pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sebelum 8 Julai ini, sekiranya kedua-dua atlet itu tidak dapat melayakkan diri secara merit.

Muhammad Azeem yang merupakan pemegang rekod 100m kebangsaan dengan catatan 10.09s melakukan catatan terbaiknya musim ini 10.24s ketika beraksi pada Kejohanan Olahraga LSU Invitational di Los Angeles pada 27 April lepas.

Bagaimanapun, catatan tersebut masih jauh jika dibandingkan dengan kelayakan ke Paris yang memerlukan beliau mencatat 10s untuk layak secara merit dalam acara tumpuan itu. – Bernama



Source link

OR

Scroll to Top