July 27, 2024

Keuntungan bersih Petronas Chemicals RM688 juta pada suku pertama

Keuntungan bersih Petronas Chemicals RM688 juta pada suku pertama


KUALA LUMPUR – Keuntungan bersih Petronas Chemicals Group Bhd (PCG) bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2024 meningkat 25.5 peratus kepada RM668 juta berbanding RM532 juta yang dicatatkan semasa suku pertama 2023.

Pendapatan untuk suku itu, bagaimanapun susut 0.8 peratus kepada RM7.50 bilion daripada RM7. 56 bilion sebelum ini, sebahagiannya diimbangi oleh kejatuhan ringgit berbanding dolar US.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Mazuin Ismail berkata, kumpulan itu teruja selepas menyaksikan pengembangan sejak dari suku sebelum ini, setelah menstabilkan kadar penggunaan loji dan jumlah pengeluarannya.

“Portfolio dalam kepelbagaian produk kami telah mula menguntungkan syarikat kerana peningkatan dalam segmen olefin dan derivatif (O&D) telah membantu mengatasi penurunan harga purata produk dalam segmen baja dan metanol (F&M) kami.

“Segmen kepakaran kami telah bertambah baik dengan ketara berikutan volum jualan serta margin produk yang lebih tinggi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menekankan kepentingan mengoptimumkan kapasiti pengeluaran merentas semua segmen, dengan lima loji dalam segmen-segmen O&D serta F&M dijadualkan untuk pemulihan tahun ini.

“Pada suku pertama 2024, kami telah menyelesaikan proses pemulihan dalam Petronas Chemicals Fertilizer Kedah Sdn Bhd termasuk aktiviti penyelenggaraan di beberapa loji lain,” kata Mazuin.

Beliau ketika mengulas mengenai prospek pasaran menjelaskan kumpulan itu menjangkakan pergerakan harga produk akan bercampur-campur menjelang suku kedua 2024, dengan beberapa produk O&D seperti etilena serta aromatik menunjukkan peningkatan pada pengehadan bekalan manakala yang lain secara relatifnya tidak berubah.

“Permintaan urea telah menjadi sederhana disebabkan kepada kelewatan musim penanaman serantau berikutan cuaca panas, manakala metanol kekal lemah akibat kelemahan dalam permintaan hiliran.

“Sama juga, kami menjangkakan prospek yang berbeza untuk segmen kepakaran memandangkan sektor pembinaan terus bergelut dengan pertumbuhan infrastruktur yang lembap termasuk kadar faedah yang tinggi, manakala produk yang disasarkan kepada sektor automotif mungkin menyaksikan permintaan yang semakin baik,” katanya.

Melangkah ke hadapan, Mazuin berkata kumpulan itu tetap berhati-hati dengan ketegangan geopolitik yang berterusan yang telah menyumbang kepada ketidaktentuan harga tenaga dan bahan mentah serta persekitaran makroekonomi yang tidak menentu.

Selain itu, beliau berkata PCG mengambil berat tentang potensi impak dalam kapasiti baharu yang memasuki pasaran, menyumbang kepada situasi lebihan bekalan yang berkemungkinan akan terus menjejaskan harga dan margin produk. – BERNAMA



Source link

OR

Scroll to Top