Rooney ‘serang’ Salah

Rooney ‘serang’ Salah


LEGENDA Manchester United, Wayne Rooney tampil dengan kritikan pedas terhadap Mohamed Salah dengan melabelkan bintang Liverpool itu sebagai seorang yang pentingkan diri sendiri dan tidak hormat terhadap pengendali pasukan, Arne Slot.

Ekoran tindakan terbuka Salah yang dilihat menyindir taktikal Slot, Rooney secara lantang menggesa pengendali dari Belanda itu supaya mengambil tindakan drastik dengan menggugurkan penyerang Mesir tersebut daripada skuad untuk aksi terakhir di Anfield.

Kemarahan Rooney berpunca daripada tindakan Salah yang memuat naik hantaran di media sosial menuntut kembali gaya permainan ‘heavy metal football’ yang sinonim dengan bekas pengurus, Jurgen Klopp. Kenyataan itu dianggap sebagai serangan langsung terhadap falsafah taktikal yang diterapkan oleh Slot ketika ini.

“Saya rasa sedih melihat penghujung kariernya di Liverpool. Dia tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang menyindir Slot. Dia mahukan heavy metal football, itu bermakna dia mahukan bola sepak era Klopp. Namun, saya fikir Salah tidak lagi mampu beraksi pada intensiti dan tempo tinggi seperti itu,” ujar Rooney menerusi program The Wayne Rooney Show.

Tambah Rooney, tindakan Salah itu seolah-olah sengaja mahu mencetuskan kekacauan dan merosakkan moral rakan sepasukan yang bakal kekal di Anfield musim depan.

Salah sebelum ini pernah digugurkan daripada kesebelasan utama selepas mendakwa Slot dan Liverpool telah meminggirkan dirinya susulan kurang mendapat minit permainan.

Walaupun Salah merupakan antara pemain terhebat dalam sejarah kelab dengan rekod 257 gol, Rooney percaya prestasi merosot penyerang itu menjadi punca dia bertindak sedemikian.

Untuk rekod, selepas menjaringkan 29 gol liga musim lalu, Salah hanya mampu meledak 12 gol dalam 40 penampilan musim ini, sekali gus menyaksikan Liverpool bakal menamatkan saingan di tangga kelima.

“Saya rasa Salah cuba mempertahankan diri sendiri kerana dia mengharungi musim yang sangat buruk. Dia bersikap sangat pentingkan diri dalam kedua-dua insiden ini. Pemain lain tahu apa yang dia cuba lakukan,” tegasnya.

Bagi memastikan disiplin pasukan terpelihara, Rooney mencadangkan agar Slot mencontohi ketegasan bekas pengurusnya, Sir Alex Ferguson. Beliau mengimbau kembali kenangan ketika tidak disenaraikan dalam perlawanan terakhir Ferguson di Old Trafford akibat perselisihan faham.

“Jika saya Arne Slot, saya tidak akan membenarkannya berada dekat dengan stadium pada perlawanan terakhir nanti. Anda tidak boleh secara terbuka tidak menghormati pengurus sebanyak dua kali dan terlepas begitu sahaja.

“Dia memang layak mendapat penghormatan atas sumbangannya, tetapi adakah dia layak mendapatkannya (perlawanan perpisahan) selepas apa yang dilakukan? Sayang sekali melihat ikon Liga Perdana pergi dalam situasi seperti ini,” katanya.

Dalam pada itu, Rooney turut menzahirkan kebimbangan mengenai krisis identiti yang melanda Liverpool, dengan menyatakan bahawa beberapa pemain dilihat seperti sudah ‘hilang fokus’ dan tidak lagi memberikan komitmen penuh buat Slot.

“Apabila anda melihat pemain seolah-olah sudah melepaskan tanggungjawab di atas padang, itu adalah masalah besar buat seorang pengurus,” ujarnya.



Source link

OR

Scroll to Top