Pagar yang memaparkan logo pasukan kebangsaan Argentina telah roboh akibat ribut. Foto: Agensi
JUARA bertahan Argentina yang diketuai Lionel Messi menerima “sambutan” kurang menggalakkan sebaik tiba di Amerika Syarikat apabila ribut petir kuat disertai amaran puting beliung melanda kawasan Kansas City, lokasi mereka berpangkalan menjelang aksi pembukaan Piala Dunia 2026 menentang Algeria.
Skuad kendalian Lionel Scaloni tiba di bandar Midwest itu pada Ahad lalu selepas penerbangan dari Buenos Aires, sebelum pihak berkuasa tempatan mengeluarkan amaran puting beliung pada malam pertama mereka berada di lokasi berkenaan.
Keadaan cuaca ekstrem itu turut menyebabkan gangguan di sekitar kawasan penginapan pasukan, termasuk kerosakan pada beberapa kemudahan ringan akibat tiupan angin kencang.
Imej yang dikongsi di media sosial menunjukkan pagar logam yang memaparkan logo pasukan kebangsaan Argentina tumbang akibat ribut, selain beberapa penghadang keselamatan turut diterbangkan angin.
Wartawan tempatan, Eric Graves dari KMBC berkata, siren amaran puting beliung dipercayai berbunyi sekitar jam 1.45 pagi, sekali gus mengejutkan pemain dan staf pasukan yang berada di hotel penginapan.
“Ribut itu menyebabkan banyak dahan pokok patah dan penghadang di sekitar kawasan penginapan diterbangkan angin.
“Bagaimanapun, poster besar Lionel Messi di hadapan hotel kekal utuh,” katanya.
Walaupun berdepan cuaca buruk, tiada laporan kecederaan melibatkan pemain atau pegawai pasukan.
Dalam pada itu, Argentina yang kini memulakan kempen persiapan Piala Dunia dijadual mengharungi dua perlawanan pemanas badan menentang Honduras dan Iceland sebelum saingan sebenar bermula.
Kansas City akan kekal sebagai pangkalan latihan skuad juara dunia itu, dengan aksi pembukaan menentang Algeria dijadual berlangsung di Stadium Arrowhead pada 16 Jun.
Messi dan rakan sepasukan turut sudah menjalani sesi latihan pertama mereka di Pusat Prestasi Kebangsaan Compass Minerals, yang juga ibu pejabat Sporting Kansas City FC.





