PORT DICKSON: Penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi akan mengalami kerugian sekiranya menolak Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai wakil rakyat kawasan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan merupakan seorang pemimpin yang amanah selain tidak pernah dikaitkan dengan isu salah guna kuasa atau rasuah.
Katanya, penduduk DUN Linggi sewajarnya mempertimbangkan rekod kepimpinan Aminuddin sebelum membuat keputusan pada hari pengundian Sabtu ini.
“Saya minta kerjasama penduduk di DUN Linggi ini memberikan sokongan kepada Aminuddin.
“Kerana adalah rugi kalau ada pemimpin yang amanah, yang baik, yang tidak rasuah itu kita tolak. Kerana saya tidak tahu apa sebab. (perlu tolak Aminuddin).
“Mudah-mudahan Allah SWT memberikan kekuatan kepada kita. Dan kita doakan kebaikan supaya Allah SWT merestui usaha kita bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Munajat Perdana di Dewan Orang Ramai Linggi hari ini.
Pada PRN Negeri Sembilan Ke-16 Sabtu ini, Aminuddin bakal berdepan saingan tiga penjuru di kawasan berkenaan yang sebelum ini merupakan kubu kuat Barisan Nasional (BN). – UTUSAN






